SEJARAH

 

LATAR BELAKANG

LOKASI : DAERAH RANAU

Daerah Ranau terletak di lembah Gunung Kinabalu yang mempunyai keluasan lebih kurang 2,987.49 KM persegi. Dilihat dari segi kedudukan Geografi (Peta Sabah), banjaran Crocker dan Gunung Kinabalu adalah di antara pemisah daerah Ranau dan kawasan Pantai Barat, Kota Belud dan Kota Merudu, sementara pemisah dengan kawasan pantai timur ialah Sungai Sugut dan Sungai Labuk.

Penduduk daerah Ranau kebanyakan terdiri daripada kaum petani dan peladang dari suku kaum dusun. Kebanyakan kawasan penempatan penduduk-penduduk adalah terletak di kampung-kampung yang berselerak di sekitar kawasan lembah serta lereng-lereng bukit. Ketika ini daerah Ranau mempunyai 9 buah sekolah menengah dan 68 buah Sekolah Rendah termasuk sebuah SJK(C) dan dua buah SRK. Jalanraya yang menghubungi Pekan Ranau ke kampung-kampung terpencil kebanyakannya merupakan jalan batu kelikir dan jalan tanah merah yang adakalanya sukar dilalui oleh kenderaan kecil. Jalan berturap di daerah ini kebanyakannya adalah merupakan jalan-jalan utama yang menghubungkan daerah ini dengan bandar-bandar lain seperti ke Kota Kinabalu, Sandakan , kampung-kampung yang berhampiran dengan kawasan pekan atau ke kawasan-kawasan yang mempunyai kepentingan ekonomi yang utama seperti Kampung Poring yang mana terletaknya Poring Hot Spring iaitu salah sebuah tempat pelancongan yang popular di Malaysia. Jalan Ranau ke Kota Kinabalu adalah sejauh 108 KM.

Beberapa buah sekolah dalam daerah ini agak sukar dihubungi. Sebagai contoh, beberapa ketika dahulu untuk ke sekolah-sekolah seperti, SK.Longut seseorang terpaksa menempuhi tiga suku daripada jarak perjalanan ke tempat tersebut dengan berjalan kaki sebelum sampai ke sekolah , demikian juga halnya untuk ke SK.Kawiyan separuh dari jarak perjalanan adalah menggunakan jalanraya kemudian selebihnya menggunakan perahu atau berjalan kaki. Kemudahan elektrik dan telefon juga belum dinikmati oleh sebilangan penduduk daerah Ranau terutama di penempatan yang terpencil. Dewasa ini keadaan semakin bertambah baik. Pembangunan serta perhubungan semakin giat diperluaskan oleh pihak berkuasa ke seluruh daerah.

PEJABAT PENDIDIKAN DAERAH RANAU

Pejabat Pendidikan Daerah Ranau secara pentadbirannya adalah di bawah Pentadbiran Pejabat Pendidikan Gabungan Kota Belud atau dahulunya dikenali sebagai Pejabat Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara berpusat di Daerah Kota Belud.

Diwujudkan pada tahun 1967 dengan seorang pegawai yang ketika itu di kenali sebagai Penyelia Daerah sahaja. Pejabatnya menumpang di sebuah rumah (bekas rumah guru) pada tahun 1969 pejabat ini berpindah dan dan menumpang di bilik Guru Besar SK. Pekan Ranau. Pada tahun 1971 berpindah lagi dan menumpang bekas Pejabat Polis dan seterusnya berpindah dan menumpang di Pejabat Daerah. Menyewa sebuah kedai dari tahun 1985 hingga 1986 sehingga awal tahun 1987 Pentadbiran Pejabat Pendidikan Daerah berpindah ke Pejabat Pendidikan Daerah yang di bangun kan secara Projek Kilat di kawasan SK Pekan Ranau dan akhirnya pada bulan oktober tahun 2003 Pejabat Pendidikan Daerah Ranau telah berpindah dan mengambilalih bangunan bekas SMKA Ranau dan masih lagi di sana sehinggalah sekarang ini.

 

SENARAI PEGAWAI-PEGAWAI PENDIDIKAN DAERAH

01. En.Ariffin Badau
02. Pg.Jalaluddin Pg.Abd Rahman
03. Pg.Abd Rahman Pg Ali
04. En.Hamzah Hj. Sukam
05. En. Ahmad Satar
06. En. Abd. Rahman Omar
07. En.Miyong Hj. Hamzah
08. Hj. Madi Yakub
09. En. Sadi Tahir
10. En.Mohd Nauth Potoh 1990 - 16 Mac 1999.
11. En Adzman Manaf April 1999 - Sekarang